Seminar Pemantapan Organisasi Jadi Pemangkin Semangat Akar Umbi PKR

PETALING JAYA: Siri jelajah Seminar Pemantapan Organisasi yang dianjurkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini memasuki fasa akhir menjelang Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada 26 Julai ini, menyaksikan lonjakan sokongan akar umbi di seluruh negara.

Setakat ini, program ini telah berlangsung di tujuh negeri termasuk kawasan yang sebelum ini kurang pengaruh seperti Kelantan dan Terengganu, namun mencatat kehadiran lebih 1,200 anggota, menandakan kebangkitan semangat pasca pemilihan parti.

Menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh, siri jelajah ini telah mencipta fenomena luar biasa yang menandakan kesediaan anggota untuk bergerak secara kolektif.

“Dulu susah nak mobilisasi akar umbi, tapi kali ini sambutan sangat luar biasa dan inilah semangat baru yang kita lihat pasca pemilihan parti,” katanya.

Fuziah turut menjelaskan bahawa pemilihan kali ini telah memenuhi tiga matlamat utama iaitu demokrasi penyertaan, perwakilan berkadar dan konsolidasi serta rekonsiliasi pasca pemilihan, sekali gus membuka ruang penyatuan dalam kalangan pemimpin Cabang tanpa mengira sama ada menang atau kalah.

“Yang hadir dalam program ini bukan hanya yang menang, yang kalah juga dijemput dan mereka hadir.

“Jadi, ini bukti mereka sayangkan parti,” katanya lagi.

Daripada 222 cabang, hanya dua belum selesai mengadakan pemilihan, sementara lebih 90 peratus menunjukkan semangat kerjasama tinggi untuk meneruskan gerak kerja parti ke hadapan.

Katanya, persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah turut menjadi tumpuan, apabila jentera PKR dilaporkan berada pada fasa akhir rundingan kerusi termasuk penugasan calon dan analisis kerusi berpotensi untuk ditandingi.

Dalam program yang berlangsung semalam, turut hadir Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyemarakkan semangat solidariti dan kebersamaan dalam kalangan pemimpin serta anggota parti.

Anda Mungkin Berminat