PETALING JAYA: Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan rasa bangga dan memberi pujukan kepada dua anakanda Baginda yang mengalami nasib berbeza dalam perlumbaan kedua siri GT World Challenge Asia di Litar Fuji Speedway.
YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor mengekalkan prestasi cemerlang bersama Ben Green apabila jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R #99 yang dipandu mereka mendahului dari awal hingga ke garisan penamat.
Namun, adindanya, YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor dan Jordan Love menghadapi kekecewaan apabila jentera #66 yang dinaiki kehilangan kedudukan podium selepas dilanggar di selekoh terakhir dan gagal menamatkan perlumbaan.
Dalam titah penuh kasih sebagai seorang ibu dan penaung sukan tanah air, Raja Zarith Sofiah menyampaikan kata-kata penuh hikmah.
“Begitulah adat pertandingan, menang kalah, manis dan pahit sebegini pasti dirasai setiap olahragawan.
“Sebagai ibu, saya tetap akan memberi sokongan dan mendoakan semoga anak-anak saya mencapai kejayaan serta bersaing dengan selamat, In Shaa Allah.
“Begitu juga saya titipkan kepada semua atlet-atlet negara tanpa mengira bidang sukannya, semoga terus bersemangat dan memberikan yang terbaik dalam usaha bersaing mengharumkan nama negara kita.
“Semuanya kita serah kepada Allah SWT dan kita jangan lupa bahawa semua yang berlaku, rezeki atau sebaliknya, adalah kurniaan Allah SWT,” titah Permaisuri Agong.