FRIM Tapak Warisan Dunia UNESCO Pertama Di Semenanjung

PETALING JAYA: Negeri Selangor melakar satu detik bersejarah apabila Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) secara rasmi diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO keenam di Malaysia dan menjadikannya yang pertama di Semenanjung dan di negeri ini.

Tourism Selangor dalam satu kenyataan merakamkan penghargaan tinggi kepada FRIM atas pencapaian ini yang bukan sahaja mengangkat nama negeri, malah membuka dimensi baharu dalam sektor pelancongan dan pemuliharaan negara.

“Pengiktirafan berprestij di peringkat global ini menandakan satu pencapaian besar bagi FRIM, Selangor dan Malaysia secara keseluruhan.

“Meletakkan FRIM bukan sahaja sebagai pusat penyelidikan perhutanan tropika dan pemuliharaan biodiversiti bertaraf dunia tetapi juga sebagai permata baharu warisan semula jadi dan budaya untuk diterokai oleh pelawat tempatan dan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehingga kini, lima Tapak Warisan Dunia lain semuanya terletak di Malaysia Timur seperti Gunung Mulu dan Kinabalu.

Dengan penyenaraian FRIM, tumpuan kini beralih ke barat, menyinari Selangor sebagai destinasi utama untuk eko-pelancongan, penemuan saintifik dan pelestarian khazanah alam.

Bertepatan dengan kempen Tahun Melawat Selangor 2025, Tourism Selangor optimis bahawa pengiktirafan ini akan memacu pengalaman pelancongan yang lebih mendalam dan mampan.

Malah, negeri ini turut menyasarkan pengiktirafan UNESCO untuk Gombak-Hulu Langat Geopark menjelang 2028, iaitu satu lagi mercu tanda yang bakal mengukuhkan identiti pelancongan berasaskan alam dan warisan di Selangor.

Dengan semangat “Kita Selangor,” inisiatif ini bukan sekadar simbol pencapaian tetapi bukti nyata komitmen negeri dalam mengekalkan kelestarian, pemuliharaan dan pemeliharaan budaya sebagai aset pelancongan yang berharga.

Anda Mungkin Berminat