PETALING JAYA: Malaysia berhak menolak pencalonan Nick Adams sebagai Duta Amerika Syarikat ke Malaysia demi mempertahankan prinsip diplomatik dan saling menghormati antara dua negara, tegas Angkatan Muda Keadilan (AMK) dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurut Ketua Biro Hubungan Antarabangsa AMK, Arief Izuadin, pencalonan Nick Adams dilihat sebagai bercanggah dengan nilai dan dasar luar Malaysia yang mementingkan toleransi dan kemajmukan.
“Angkatan Muda KEADILAN (AMK) memandang serius pencalonan Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia.
“Malaysia sebagai negara berdaulat berhak, di bawah Artikel 4 Konvensyen Vienna, untuk menyuarakan kebimbangan atau menolak mana-mana pencalonan diplomat asing yang tidak selari dengan dasar luar dan sensitiviti tempatan,” katanya.
Kata Arief, latar belakang Nick Adams sebagai ahli politik kontroversi yang cenderung kepada fahaman ekstrem kanan dilihat tidak bersesuaian dengan semangat perpaduan yang dijunjung oleh rakyat dan kerajaan Malaysia.
“Penolakan itu bukanlah satu bentuk permusuhan antara Malaysia dan AS, sebaliknya ia dibuat bagi mempertahankan hubungan dua hala yang sihat antara dua negara itu,” katanya lagi.
Susulan itu, katanya, AMK akan menghantar satu memorandum rasmi kepada Kedutaan Amerika Syarikat sebagai bantahan terhadap pencalonan terbabit.
“Desakan itu dilaksanakan agar AS dapat menghantar individu yang lebih berwibawa, moderat dan menghormati nilai keadilan sejagat dilantik demi kepentingan bersama,” jelas beliau.
Penegasan ini hadir ketika wujud kebimbangan terhadap potensi ketegangan hubungan dua hala sekiranya pencalonan tidak ditangani dengan berhemah dan hormat terhadap sensitiviti tempatan.