PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji digesa memperkenalkan sistem pendaftaran haji automatik seiring setiap pembukaan akaun baharu dengan syarat baki minimum RM1,300 telah dipenuhi.
Cadangan tersebut disuarakan oleh Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak, Khairol Najib Hashim yang berpandangan sistem automatik ini dapat memastikan golongan muda tidak terlepas peluang mendaftar haji lebih awal.
“Cadangan ini tidak menafikan keperluan untuk menabung tetapi bertujuan mempermudahkan urusan umat Islam terutamanya generasi muda yang semakin awal membuka akaun tetapi sering terlepas pendaftaran kerana tidak sedar akan prosedur manual yang perlu dilakukan,” menurutnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, sistem ini akan membolehkan akaun baharu disenaraikan secara langsung dalam giliran haji apabila syarat simpanan dipenuhi, sekali gus mempercepatkan proses perancangan ibadah bagi umat Islam.
“Langkah ini selari dengan misi Tabung Haji untuk menjadi institusi yang inklusif, efisien dan memudahkan umat Islam merancang ibadah sejak umur yang muda lagi,” jelas beliau.
Khairol juga mencadangkan agar pilihan ‘opt-out’ disediakan bagi individu yang belum bersedia, bagi memastikan fleksibiliti dan keterbukaan sistem pendaftaran.
Beliau menyatakan komitmen untuk mengadakan perbincangan bersama pihak Tabung Haji serta agensi berkaitan, demi menjayakan cadangan yang diyakini memberi manfaat besar kepada umat Islam di seluruh negara.