KUALA LUMPUR: Di tengah-tengah ketegangan politik berhubung isu kebebasan kehakiman, Ahli Majlis Peguam Malaysia, Ahmad Nizam Hamid tampil menyuarakan sokongan terbuka terhadap kehadiran Nurul Izzah Anwar dalam perarakan anjuran Majlis Peguam Malaysia, yang bertujuan mempertahankan kebebasan institusi kehakiman negara.
Dalam satu kenyataan, hari ini, beliau berkata, kehadiran Nurul Izzah sebagai pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) wajar dihargai dan tidak seharusnya menjadi punca kepada sebarang tindakan disiplin oleh parti.
“Sebagai Ahli Majlis Peguam Malaysia saya sangat menghargai kehadiran Nurul Izzah Anwar memberikan sokongan dan solidariti bersama Majlis Peguam Malaysia mempertahankan Kebebasan Kehakiman yang menjadi pillar penting Negara.
“Kehadiran beliau (Nurul Izzah) sebagai seorang pemimpin kanan PKR sesungguhnya wajar diberi penghargaan dan memperlihatkan komitmen beliau mempertahankan Kebebasan Kehakiman,” katanya.
Ahmad Nizam turut menyeru agar Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh untuk tidak mengambil tindakan disiplin terhadap Nurul Izzah, seperti mana yang sedang dipertimbangkan terhadap sembilan Ahli Parlimen PKR lain yang menyuarakan gesaan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pelantikan kehakiman.
“Saya memohon Datuk Dr (Fuziah) Setiausaha Agung KEADILAN agar tidak mengambil tindakan disiplin seperti buat siasatan terhadap Nurul Izzah atau molek juga tidak terlalu ‘excited’ mengeluarkan kenyataan media seperti terhadap 9 MP terkait,” katanya.
Beliau turut merayu kepada Ketua-Ketua Cabang dari Johor dan Kedah agar tidak membuat aduan disiplin terhadap Nurul Izzah dan menyifatkan tindakan sedemikian sebagai tidak selari dengan semangat reformasi dan prinsip demokrasi parti.
Sebagai peguambela dan peguamcara, Ahmad Nizam menyatakan kesediaan untuk membela Nurul Izzah sekiranya beliau diheret ke Lembaga Disiplin parti.
“Saya menawarkan khidmat saya atas kapasiti seorang pengamal undang-undang untuk membela dan mempertahankan Nurul Izzah sekiranya ada aduan dari Ketua-ketua Cabang dan sekiranya Fuziah Salleh mengheret beliau ke Lembaga Disiplin,” katanya.
Terdahulu, perarakan ‘Walk to Safeguard Judicial Independence’ yang berlangsung di Putrajaya hari ini menyaksikan kehadiran ratusan peguam dan aktivis termasuk Nurul Izzah, yang menyatakan sokongan terhadap tuntutan agar kerajaan mengisi kekosongan jawatan kehakiman, mendedahkan minit mesyuarat JAC dan menubuhkan RCI.








