PETALING JAYA: Sebanyak 20 badan bukan kerajaan (NGO) pro-Palestin hari ini menyeru kerajaan Malaysia agar menggunakan sepenuhnya hak kedaulatan negara untuk menolak pelantikan Nick Adams sebagai Duta Amerika Syarikat (AS) kerana rekod pandangan ekstrem dan kontroversi yang dikaitkan dengan beliau.
Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan NGO terbabit berkata, Malaysia berhak untuk menerima wakil diplomatik yang berperwatakan profesional, sensitif terhadap budaya tempatan dan komited terhadap prinsip kerjasama antarabangsa yang kukuh.
“Malaysia sejak sekian lama menjunjung prinsip saling menghormati dan diplomasi yang membina.
“Menerima seorang duta yang mempunyai rekod ekstremisme dan pandangan yang memecah-belahkan boleh menjejaskan reputasi Malaysia sebagai sebuah negara aman dan inklusif serta menggugat hubungan positif antara kedua-dua negara,” katanya.
NGO tersebut turut meluahkan kebimbangan mengenai sejarah kenyataan Nick Adams yang berunsur provokatif dan bertentangan dengan nilai-nilai Malaysia seperti kesederhanaan, keharmonian budaya dan etika diplomatik yang berhemah.
“Nick Adams mempunyai rekod kenyataan yang berbaur provokasi yang jelas bertentangan dengan nilai Malaysia yang mementingkan kesederhanaan, keharmonian pelbagai budaya dan tatacara diplomatik yang berhemah.
“Kenyataan lampau beliau (Nick Adams) berkaitan isu kaum, agama dan hubungan antarabangsa berisiko menjejaskan hubungan dua hala yang kukuh antara Malaysia dan Amerika Syarikat serta mencetuskan ketegangan dalam masyarakat majmuk kita,” kata kenyataan itu.
Sebagai contoh, mereka merujuk kepada satu ciapan Twitter di mana Adams menyatakan dengan bangga bahawa beliau menyebabkan seorang pelayan restoran dipecat kerana memakai pin ‘Free Palestine’, selain mempamerkan pandangan misoginis dan menjadikan kunjungan ke restoran berkonsep seksual sebagai satu kebanggaan peribadi.
Menurut kenyataan itu lagi, menerima seorang duta dengan latar belakang sebegitu boleh mencemarkan imej Malaysia sebagai negara yang menghargai keamanan, toleransi dan perpaduan pelbagai kaum.
Antara NGO yang menandatangani kenyataan tersebut adalah BDS Malaysia, ABIM, Viva Palestina Malaysia, Muslim Care Malaysia, Global Peace Mission Malaysia, MyCare, IKRAM, MAPIM, dan Persatuan Cinta Gaza Malaysia.
Turut bersama GSPP, HALUAN, MAHAR, Citizens International, PiP, PFM, ACCIN, AGENDA, IKRAM Muda Malaysia dan Muslim Professionals Forum.
“Kami percaya kerajaan akan bertindak demi kepentingan keharmonian nasional dan integriti diplomatik negara,” kata kenyataan itu.