Serangan Udara Rusia di Ukraine, Dua Terbunuh Dan Puluhan Cedera

DOBROPILLIA: Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dan 22 lagi cedera dalam serangan udara Rusia yang menyasarkan pusat beli-belah dan pasar di bandar Dobropillia, wilayah timur Donetsk.

Menurut Agensi Berita Antarabangsa, serangan itu berlaku pada pukul 5:20 petang waktu tempatan (14:20 GMT) ketika kawasan tersebut dipenuhi orang ramai yang sedang membeli-belah.

Gabenor Donetsk, Vadym Filashkin berkata, bom seberat 500 kilogram (kg) telah dijatuhkan secara sengaja ke kawasan sesak itu.

“Penyerang menjatuhkan bom pada waktu Dobropillia dipenuhi orang. Ramai sedang membeli-belah.

“Penyerang secara khusus menyasarkan pusat beli-belah. Semua pusat beli-belah berdekatan telah musnah atau rosak,” katanya kepada televisyen Ukraine.

Rakaman video menunjukkan api marak dan asap tebal membumbung dari kawasan serangan.

Filashkin menambah, “Pasukan bomba sedang memadamkan kebakaran kerana ada kemungkinan masih terdapat orang di dalam pusat beli-belah.”

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, mengecam serangan itu dalam ucapannya.

“Serangan ini benar-benar mengerikan, keganasan bodoh Rusia.

“Tiada logik ketenteraan dalam serangan mereka, hanya usaha untuk meragut sebanyak mungkin nyawa,” katanya.

Serangan itunberlaku selepas Rusia melancarkan lebih 400 dron Shahed dan peluru berpandu balistik ke beberapa bandar Ukraine termasuk Kharkiv, Kryvyi Rih, Vinnytsia dan Odesa, meskipun Presiden Amerika Syarikat Donald Trump telah memberi amaran agar Kremlin mencapai perjanjian damai dalam masa 50 hari atau berdepan sekatan berat.

Trump turut berjanji untuk menghantar lebih banyak sistem pertahanan udara Patriot kepada Ukraine dan mengancam sekatan tambahan terhadap Rusia.

Namun, beberapa ahli politik AS dan pegawai Eropah bimbang tempoh 50 hari itu memberi ruang kepada Rusia untuk menawan lebih banyak wilayah sebelum sebarang rundingan damai dimulakan.

Setakat ini, tiada tarikh ditetapkan untuk pusingan ketiga rundingan damai langsung antara delegasi Rusia dan Ukraine.

Dua pusingan sebelum ini hanya menghasilkan pertukaran tahanan tanpa kemajuan ketara.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lebih 12,000 orang awam Ukraine telah terbunuh akibat serangan Rusia, manakala puluhan ribu tentera dari kedua-dua pihak telah terkorban sepanjang lebih 1,000 kilometer garis hadapan peperangan.

Untuk info, perang yang berlaku sejak 2022 berpunca daripada serangan Rusia ke atas wilayah Ukraine, yang menimbulkan krisis geopolitik terbesar di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

Anda Mungkin Berminat