Dua Maut Dalam Nahas Lori Lima Tan Di Kulim

KULIM: Dua nyawa melayang dalam satu kemalangan jalan raya tragik awal pagi tadi apabila sebuah lori lima tan bertembung dengan motosikal di Taman Kangkong, Kulim, Kedah.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kulim telah digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 1.31 pagi.

Menurutnya, tragedi itu menyaksikan dua mangsa, iaitu seorang penunggang dan pembonceng motosikal tersepit di bahagian bawah lori.

“Terdapat dua orang mangsa iaitu penunggang dan pembonceng motosikal telah tersepit di bahagian bawah lori dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan KKM,” kata kenyataan itu.

Tambah JBPM, mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

Lokasi kemalangan itu kini menjadi tumpuan siasatan, manakala laluan utama di kawasan kejadian ditutup sementara bagi kerja-kerja pembersihan dan forensik.

Anda Mungkin Berminat