PETALING JAYA: Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari menyambut baik pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara dan menyifatkannya sebagai langkah tepat yang menamatkan pelbagai spekulasi politik tidak berasas.
Pelantikan tersebut, yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, dibuat mengikut Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan, bersama dua lagi pelantikan tertinggi dalam badan kehakiman.
Taufiq menolak dakwaan kononnya Perdana Menteri cuba melantik Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh ke jawatan tersebut.
“Dakwaan bahawa Perdana Menteri cuba melantik Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh sebagai Ketua Hakim adalah palsu,” tegasnya.
Beliau turut mengkritik tindakan segelintir pihak termasuk bekas pemimpin PKR yang didakwa sengaja memanipulasi isu persaraan Tun Tengku Maimun Tuan Mat secara tidak bertanggungjawab.
“Negara pernah melalui krisis kehakiman sebenar seperti pemecatan lima hakim pada 1988, skandal VK Lingam pada 2007 dan penggantungan Hakim Mahkamah Rayuan, Hamid Sultan Abu Backer pada 2021,” katanya yang turut mengingatkan agar sejarah tidak berulang.
Taufiq turut memuji komitmen Perdana Menteri yang berjanji untuk menyemak semula Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman bagi memperkukuh ketelusan dan integriti dalam proses pelantikan.
Beliau menyeru semua pihak agar menghormati institusi kehakiman dan memberi ruang kepada barisan hakim baharu untuk menjalankan tugas mereka dengan bebas dan adil.
“Sudah tiba masanya kita hentikan gangguan dan beri kepercayaan kepada sistem kehakiman negara,” ujarnya.
Wan Ahmad Farid dijadual mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara pada 28 Julai ini di Istana Negara.