Festival Turath Islami 2025: Anwar Rai Kedatangan Ulama Nusantara

SHAH ALAM: Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor menjadi saksi pertemuan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meraikan kehadiran tokoh-tokoh ulama terkemuka dari dalam dan luar negara sempena Festival Turath Islami 2025.

Antara yang hadir ialah Syeikh Dr Mohammad Akram Nadwi, Syeikh Dr Majd Makki, Syeikh Prof Dr Idris al-Kharshafi, Syeikh Dr Adi Hidayat serta para tuan guru dari seluruh Malaysia dan Patani.

Anwar dalam satu hantaran di Facebook, menzahirkan rasa syukur atas komitmen kerajaan persekutuan dan negeri dalam menyegarkan wacana keilmuan Islam.

“Alhamdulillah, dengan kuasa yang ada kita dukung tradisi menggali warisan ilmu Islam hari ini (Jumaat) di Shah Alam dan esok (Sabtu) di Putrajaya,” katanya.

Menyentuh pengalaman peribadi, Anwar berkongsi pengamatannya terhadap kitab Munyatul Musolli karya Syeikh Daud Al-Fatani.

Beliau berkata, walaupun kitab tersebut membahaskan tatacara solat, ia turut menyentuh prinsip keadilan dan tatakelola yang baik.

“Dalam bab ‘Tatmim al-Fa’idah’, Syeikh Daud bukan sahaja menyentuh mengenai solat namun jauh daripada itu mengaitkan dengan prinsip keadilan,” katanya, merujuk kepada ulasan beliau dalam jurnal Justice for a Praying Person.

Perdana Menteri turut menyentuh cabaran umat Islam masa kini yang datang dari pelbagai penjuru.

Beliau menyeru agar nilai ilmu dijadikan asas dalam membina wahdatul fikr (kesatuan pemikiran) yang mempersatukan umat dan menolak budaya adu domba serta cerca.

“Saya zahirkan juga penghargaan atas pertemuan, nasihat dan doa para ulama dan guru-guru pondok yang datang jauh ke Shah Alam.

“Semoga acara begini dapat memberi manfaat dan barakah kepada kita semua di Malaysia,” katanya.

Anda Mungkin Berminat