LAWAS: Kejadian mendebarkan berlaku di Kampung Seberang Masjid Lama, Awat-Awat apabila sebuah rumah berstruktur tidak kekal dilaporkan runtuh secara tiba-tiba ketika dua penghuni sedang tidur.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas segera digerakkan sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.02 pagi.
Namun katanya, sebaik tiba, kedua-dua mangsa didapati telah berjaya menyelamatkan diri tanpa bantuan dan tidak mengalami kecederaan serius.
“Mangsa turut memaklumkan semasa kejadian mereka sedang tidur dan penghuni yang lain tiada di rumah,” katanya.
Tiada sebarang operasi penyelamatan dilakukan oleh pihak bomba namun pasukan bertugas tetap menjalankan rawatan awal dan menasihatkan mangsa agar membuat pemeriksaan lanjut di hospital.








