SEBERANG JAYA: Pada pelancaran Projek Rumah Bakat MADANI oleh SkyWorld yang disifatkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai manifestasi gabungan teknologi canggih, kepedulian sosial dan semangat MADANI.
“Projek ini bakal menjadi model contoh untuk perumahan awam moden yang canggih dan inklusif,” katanya semasa majlis rasmi pelancaran itu.
Dengan konsep modular dan pelaksanaan yang pantas, Anwar berkata, projek itu dijangka membawa transformasi besar dalam penyediaan rumah mampu milik yang bukan sahaja efisien tetapi juga menjamin kualiti hidup berdaya huni.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa pembangunan perumahan tidak boleh sekadar menyediakan bumbung tetapi mestilah mendukung prinsip keterangkuman.
“Dalam setiap projek yang kita luluskan, sensitiviti terhadap kepelbagaian kaum mesti dijaga kemas.
“Malaysia ini milik bersama dan sebagai Perdana Menteri, adalah tanggungjawab saya menjaga orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan seluruh rakyat dengan adil,” katanya.
Dalam konteks semasa yang menyaksikan gelombang fitnah dan sentimen perkauman berleluasa, Anwar turut menyeru agar rakyat kembali kepada idealisme MADANI yang progresif, bersih dan inklusif.
“Naratif ‘siege mentality’ yang cuba diasak ke arah rakyat oleh segelintir gerombolan adalah bukti nyata betapa mereka tidak bertanggungjawab dan kontang isu serta hujah yang ampuh untuk mendepani kita,” katanya.
Di majlis sama, beliau turut mencabar seluruh jentera kerajaan agar mengutamakan kecekapan pelaksanaan.
“Sekiranya sesuatu projek itu mampu disiapkan dalam dua bulan, mengapa perlu tunggu lapan bulan?
“Pengalaman saya dengan projek-projek MADANI membuktikan bahawa jika ada iltizam, segalanya boleh dicapai dengan cepat tanpa mengorbankan mutu,” katanya.
Dengan nada penuh iltizam, Anwar menegaskan bahawa ketangkasan pentadbiran adalah kunci manfaat segera buat rakyat, selaras dengan semangat reformasi dan kemajuan yang digalas oleh Kerajaan MADANI.