Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Kerajaan disaran memberi ganjaran wang tunai kepada mana-mana individu, syarikat swasta atau agensi penguat kuasa luar negara yang berjaya menangkap dan membawa pulang buruan utama kes 1MDB, Low Taek Jho atau Jho Low untuk dihadapkan ke mahkamah seperti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menurut Ketua Cabang Selayang Parti Keadilan Rakyat (PKR), ko, penangkapan Jho Low amatlah penting agar diberi hukuman setimpal seperti Najib.
“Orang yang terlibat dengan jenayah mesti berdepan dengan undang-undang, bukan melarikan diri seumur hidup,” katanya.
Chua Wei Kiat dalam satu kenyataan media hari ini, turut mencadangkan agar ganjaran yang ditawarkan itu bernilai RM10 juta yang mana ia merupakan 0.035 peratus daripada jumlah keseluruhan dana 1MDB yang telah berjaya dikembalikan kepada Malaysia, iaitu lebih RM29 billion setakat ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang menyatakan bahawa Malaysia tidak boleh lupa bahawa Jho Low bukan sekadar suspek, tetapi simbol kepada sistem yang dibolosi, institusi yang dimanipulasi dan kekayaan negara yang dicuri.
“Bagaimana keadilan boleh ditegakkan jika individu yang menyimpan kunci kepada keseluruhan skandal ini masih bebas dan terus menikmati kehidupan mewah di luar negara,” tambahnya.
Tegasnya, semua individu yang terlibat dalam kes 1MDB digesa untuk sama-sama sambil bertanggungjawab.
“Keadilan yang sebenar hanya boleh dicapai apabila semua yang terlibat, tanpa mengira pangkat atau kekayaan, dibawa ke muka pengadilan,” tegasnya.
Kepulangan Jho Low juga penting bagi memastikan siasatan dan pendakwaan kes 1MDB dapat dilengkapkan sepenuhnya.
Tambah beliau, ia dapat membantu mengelakkan kejadian seperti keputusan DNAA iaitu dilepas tanpa dibebaskan daripada berulang hanya kerana kekurangan saksi utama dan bahan bukti tidak mencukupi.
Untuk rekod, media antarabangsa mendedahkan bahawa Jho Low dipercayai kini menetap di sebuah kawasan elit di Shanghai, China dengan menggunakan pasport Australia palsu.








