Ibu tidak peduli dakwaan Syamsul, Ira berpisah

Ibu kepada pengarah sensasi, Syamsul Yusof, Datin Patimah Ismail enggan mengambil tahu mengenai gosip yang mengaitkan anak sulungnya itu sudah berpisah dengan Ira Kazar.

Patimah ketika dihubungi berkata, dia hanya menganggap pelakon Puteri Sarah Liyana sebagai satu-satunya menantu menerusi perkahwinan dengan Syamsul sebelum ini.

“Saya tak ambil tahu. Apa yang saya tahu menantu saya adalah Puteri Sarah Liyana, tapi mereka sudah berpisah.

“Apa yang berlaku seterusnya saya tidak tahu. Bagi saya itu ‘isteri tidak berdaftar’ jadi saya tiada komen,” katanya.

Terdahulu nama Syamsul dan Ira dipetik oleh netizen selepas tular gosip seorang pengarah terkenal menceraikan isterinya menerusi aplikasi WhatsApp dan dihalau keluar rumah.

Dalam pada itu, Patimah enggan memanjangkan kenyataan yang dikeluarkan suaminya yang juga penerbit terkenal Datuk Yusof Haslam mengenai anak sulungnya yang sudah lama tidak pulang ke rumah berjumpa orang tuanya.

“Betullah apa yang suami saya cakap, tapi saya tak nak ungkit lagi.

“Saya tak nak rosakkan nama Syamsul lagi. Jadi saya tiada komen mengenai pertanyaan ini,” katanya.

Sebelum ini, Yusof menerusi satu temu bual bersama media mengalirkan air mata apabila mendedahkan Syamsul sudah lama tidak pulang ke rumah.

Yusof turut mengingatkan anaknya agar jangan menunggu sehingga orang tuanya sudah tiada, baharulah dia mahu mencari mereka.

Sementara itu, pelakon Kazar Saisi mendakwa tidak tahu menahu mengenai khabar angin rumah tangga anaknya, Ira dan Syamsul dikatakan bermasalah.

Ketika dihubungi, Kazar enggan mengulas lanjut sebelum panggilan telefon terputus.

“Saya tak tahu… Saya sedang berada di luar kota (outstation),” katanya. – BH Online

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat