Kerajaan komited makmurkan negara dan kebajikan rakyat – PM

PETALING JAYA: Kerajaan Perpaduan terus komited dalam usaha memakmurkan negara serta mengutamakan kebajikan rakyat, selaras dengan prinsip Malaysia Masani yang menekankan kesejahteraan serta nilai murni dalam tadbir urus negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bukan hanya tertumpu kepada angka-angka ekonomi semata-mata, sebaliknya turut memberi perhatian kepada suara rakyat di peringkat akar umbi.

“Kita turun dan dengar sendiri keluhan rakyat. Inilah semangat Kerajaan MADANI bukan hanya melihat angka ekonomi semata-mata, tetapi benar-benar memahami suara rakyat di bawah,” katanya ketika berucap pada Program Ukhuwah Kepimpinan Kerajaan MADANI di Dataran Kampung Pachitan, Port Dickson, hari ini.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jemaah menteri dan ahli parlimen kerajaan yang sentiasa bersatu dalam membangunkan negara meskipun datang daripada pelbagai latar belakang politik.

“Walaupun kita merupakan gabungan pelbagai parti, semangat untuk membangunkan negara dan berkhidmat kepada rakyat kekal menjadi keutamaan bersama,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa segala keputusan kerajaan dibuat secara kolektif dengan melibatkan barisan kepimpinan serta kementerian yang berkaitan, sejajar dengan prinsip demokrasi dan pendekatan musyawarah.

Dalam masa yang sama, beliau menekankan bahawa kestabilan dan keamanan yang dikecapi hari ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk memacu kemajuan negara.

“Alhamdulillah, kita aman, kita stabil. Maka, inilah ruang terbaik untuk kita tumpukan kepada usaha membangunkan negara serta menjaga kebajikan rakyat,” katanya lagi.

Baca juga;

Anda Mungkin Berminat