PM Mahu Dasar Kerajaan Tak Beban Rakyat, Termasuk Subsidi RON95

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa setiap dasar kerajaan mestilah memberi manfaat langsung kepada rakyat serta tidak membebankan golongan majoriti, termasuk dalam isu penyasaran subsidi bahan api RON95.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan MADANI, Fahmi Fadzil, dalam sidang media mingguan di bangunan Parlimen hari ini.

“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ada menyatakan pandangan bahawa beliau tidak mahu pelaksanaan dasar-dasar yang akan mendatangkan kesan negatif kepada majoriti rakyat. Ini termasuk dasar berkaitan RON95 yang masih dalam fasa penelitian,” katanya.

Fahmi berkata, kerajaan masih meneliti mekanisme pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 bagi mengelakkan kesan berantai terhadap harga barang dan perkhidmatan lain.

Tambah beliau, pendekatan berhati-hati ini selari dengan langkah terdahulu melibatkan penyasaran subsidi diesel dan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Terdahulu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan bahawa rasionalisasi subsidi RON95 dijangka dilaksanakan pada separuh kedua 2025 dengan pendekatan penyasaran bersasar kepada golongan layak.

Dalam perkembangan lain, Fahmi turut memaklumkan bahawa Program Ukhuwah Kepimpinan Kerajaan MADANI yang berlangsung semalam berjaya memupuk semangat silaturahim dalam kalangan Ahli Parlimen serta memperkukuh komunikasi antara legislatif dan eksekutif.

“Permukiman ini bukan sahaja mempererat hubungan antara Ahli Parlimen pelbagai parti dan latar belakang, tetapi juga memberi ruang kepada kerajaan berkongsi maklumat berkaitan persiapan sidang Parlimen dan pembentangan RMK-13,” jelasnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat