PETALING JAYA: Langkah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumpulkan parti-parti pembangkang di luar blok kerajaan adalah strategi untuk memaparkan imej pembangkang yang bersatu dan inklusif.
Felo Majlis Profesor Negara, Dr Azmi Hassan berkata, usaha itu dilakukan tanpa melibatkan PAS pada peringkat awal bagi memberi keselesaan kepada parti bukan Melayu seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan parti mewakili kaum India.
“Ini langkah strategik untuk menarik parti-parti bukan Melayu. Dengan tidak melibatkan PAS, ia memberi isyarat bahawa mereka dialu-alukan,” katanya.
Menurut Azmi, objektif utama pendekatan itu adalah untuk menarik undi bukan Melayu yang selama ini gagal diperoleh oleh Perikatan Nasional (PN) sama ada melalui Gerakan, MCA atau MIC.
“PN cuba menggambarkan bahawa pembangkang bersatu dan kuat. Ia penting untuk bentuk persepsi positif, terutama bagi pengundi bukan Melayu,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.
Namun begitu, kata Azmi, realitinya PAS akan tetap memainkan peranan dominan, khususnya dalam rundingan kerusi menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.
Beliau berkata, usaha ini merupakan percubaan baru oleh PN selepas kaedah membuka keahlian kepada bukan Melayu dalam Bersatu dan PAS sebelum ini gagal.
Sebelum ini, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan penubuhan barisan rentas parti ini bertujuan untuk memperkukuhkan peranan semak dan imbang parti-parti pembangkang dalam dan di luar Parlimen.
Baca juga: