Pengguna TikTok Disiasat Muat Naik Kandungan Jelik Libat PM

CYBERJAYA: Seorang pengguna TikTok disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selepas didakwa memuat naik dua kandungan yang mengandungi elemen palsu dan jelik melampau yang membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut MCMC, kandungan tersebut dipercayai dimuat naik susulan isu berkaitan pesta tidak bermoral dalam negara serta kenyataan rasmi Perdana Menteri mengenai insentif penghargaan kepada rakyat.

“Satu lagi hantaran turut mengandungi tuduhan palsu dan jelik melampau berkaitan lawatan rasmi Perdana Menteri ke luar negara,” menurut kenyataan MCMC, hari ini.

Kenyataan itu berkata, individu berkenaan telah dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya, semalam.

Pihak berkuasa katanya, turut menyita sebuah telefon bimbit dan kad SIM sebagai sebahagian daripada siasatan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM500,000, penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“MCMC tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan media sosial untuk menyebarkan kandungan jelik melampau atau tuduhan tidak berasas.

“Kami akan terus mengambil tindakan tegas demi memelihara ketenteraman awam dan keharmonian negara,” tegas kenyataan itu lagi.

Anda Mungkin Berminat