KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (AMANAH) menyelar tindakan pembangkang yang didakwa seolah-olah menjadi ‘jurucakap tidak rasmi’ kuasa asing ketika negara berdepan tekanan ekonomi daripada Amerika Syarikat (AS).
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar mendakwa tarif perdagangan yang dikenakan Washington berpunca daripada pendirian tegas Malaysia menyokong Palestin, menjalin hubungan sah dengan Iran serta menyertai kerjasama BRICS.
“Pembangkang khususnya PAS dan Perikatan Nasional (PN) tidak mempertahankan pendirian kerajaan, sebaliknya terus menghentam pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tindakan itu menunjukkan pembangkang lebih cenderung menyebelahi tekanan luar berbanding mempertahankan maruah dan kedaulatan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau juga menepis dakwaan bahawa kerajaan gagal mengurus hubungan antarabangsa, sambil menegaskan Malaysia kini menghadapi cabaran geopolitik yang menuntut ketegasan prinsip.
“Adakah pembangkang tidak mampu bezakan antara kepentingan negara dan kepentingan politik sempit mereka?” soal Mahfuz.
Katanya, kecenderungan pembangkang mengulang naratif Barat di pentas ceramah, media sosial dan himpunan jalanan adalah tindakan tidak patriotik serta menjijikkan.
“Jika tidak mampu membantu mempertahankan pendirian negara, sekurang-kurangnya jangan jadi alat tekanan asing,” tegas beliau.
Mahfuz turut mengajak semua pihak bersatu, tanpa mengira perbezaan politik apabila berdepan isu melibatkan maruah negara.
“Malaysia ditekan kerana kita berani berdiri atas prinsip bukan kerana kita lemah.
“Tetapi malangnya, pembangkang sanggup menjual prinsip dan tunduk kepada naratif Barat demi gilakan kuasa,” katanya.