KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir merasmikan peluncuran biografi Melukis Dengan Hati: Perjalanan Seni 50 Tahun Karya Zunar.
Dalam ucapan beliau, Anwar menyifatkan Zunar bukan sekadar seniman tetapi pejuang keadilan yang melakar dengan hati dan menyuarakan kebenaran tanpa gentar.
“Saya hadir hari ini bukan sekadar merasmikan peluncuran… tetapi sebagai saksi kepada perjalanan seni seorang kartunis yang berani, Zunar yang melakar dengan hati, berpegang pada prinsip, dan tidak gentar menyuarakan kebenaran,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Anwar menyatakan bahawa Zunar telah membuktikan seni bukan hanya ekspresi kreatif tetapi amanah besar untuk menentang kezaliman dan memperjuangkan suara rakyat.
“Zunar membuktikan bahawa seni bukan sekadar bakat atau ekspresi kreatif tetapi suatu amanah untuk membela keadilan, menentang kezaliman, dan menjadi suara rakyat dalam apa jua keadaan,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah atas penerbitan biografi tersebut yang bukan sahaja mencatat perjalanan peribadi seorang seniman berprinsip tetapi juga menampilkan peranan seni dalam membentuk kesedaran dan keteguhan masyarakat.
“Tahniah saya ucapkan kepada Zunar atas penerbitan biografi ini.
“Ia bukan sahaja merakam perjuangan peribadi seorang seniman tetapi turut menjadi catatan penting mengenai peranan seni dalam membentuk kesedaran dan keteguhan masyarakat,” katanya.
Dalam ucapannya juga, Anwar berkata, kepentingan kebebasan bersuara sebagai asas demokrasi yang perlu terus dipertahankan terutamanya oleh generasi muda.
“Kebebasan bersuara adalah tunjang demokrasi dan amat penting untuk terus dipertahankan khususnya oleh anak-anak muda yang akan mencorak masa depan negara ini ke arah yang lebih adil dan gemilang,” katanya.