Keyakinan global terhadap reformasi ekonomi MADANI mula berhasil

PUTRAJAYA: Reformasi ekonomi yang digerakkan di bawah kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat mula menampakkan hasil apabila Malaysia melonjak 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2025.

Kedudukan baharu ini, naik daripada tempat ke-34 pada tahun sebelumnya membuktikan bahawa pendekatan ekonomi yang berpaksikan tadbir urus berintegriti, kecekapan perbelanjaan dan keseimbangan sosial mula mendapat pengiktirafan antarabangsa.

“Ini bukan semata-mata angka atas kertas. Ia adalah isyarat jelas bahawa keyakinan global terhadap hala tuju ekonomi negara semakin pulih dan mengukuh,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan khas bertajuk Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia pada Rabu.

Beliau menjelaskan bahawa kejayaan ini disokong oleh beberapa faktor utama:

Peningkatan pelaburan diluluskan kepada RM384 bilion pada 2024 – tertinggi dalam sejarah iaitu

  • Pengukuhan nilai Ringgit lebih 5 peratus berbanding Dolar AS
  • Penciptaan ratusan ribu peluang pekerjaan baharu sejak 2023
  • Penekanan terhadap tadbir urus baik, pengurangan ketirisan, dan perbelanjaan berhemah

Peningkatan dalam indeks daya saing ini diterbitkan oleh Institute for Management Development (IMD) dan menilai kekuatan sesebuah negara dalam aspek ekonomi, kecekapan kerajaan, perniagaan dan infrastruktur.

Anwar turut menegaskan bahawa pencapaian ini bukan hanya kejayaan pentadbiran, tetapi hasil kesabaran dan sokongan rakyat dalam menghadapi fasa reformasi.

“Malaysia sedang bangkit dengan penuh keyakinan. Dunia mula membuka mata terhadap potensi kita semula,” ujarnya.

Kerajaan MADANI, katanya, akan terus memperkukuh dasar-dasar mesra rakyat sambil memastikan pertumbuhan ekonomi disertai keadilan sosial dan kelestarian jangka panjang.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat