10 Lebuh Raya Tangguh Kenaikan Tol, Lebih 900,000 Pengguna Dapat Manfaat

PETALING JAYA: Kerajaan terus menunjukkan komitmen menjaga kebajikan rakyat apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penangguhan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya utama tahun ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah itu disambut baik oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) yang sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan.

“Kita faham tekanan kos sara hidup. Penangguhan ini bukan sahaja melegakan rakyat, malah bukti keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap beban pengguna lebuh raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Alexander, langkah tersebut memberi manfaat kepada kira-kira 941,000 pengguna harian khususnya mereka yang berulang-alik ke tempat kerja dan bergantung kepada lebuh raya sebagai laluan utama.

Beliau berkata, antara lebuh raya terlibat ialah Lebuhraya Cheras–Kajang, Lebuhraya KL–Kuala Selangor, Lebuhraya Senai–Desaru, SKVE dan LPT2.

Antara lebuh raya lain termasuk DUKE, MEX, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, NNKSB dan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB).

Mengikut perjanjian terdahulu, kadar tol sepatutnya dinaikkan tahun ini.

Namun, katanya, kerajaan memilih untuk menangguhkannya demi kepentingan rakyat.

Bagi memastikan syarikat konsesi tidak terjejas, kerajaan melalui Kementerian Kewangan akan membayar pampasan lebih RM500 juta agar operasi dan penyelenggaraan lebuh raya kekal lancar.

“Keputusan ini bukan mudah tetapi ia dibuat secara teliti demi kesejahteraan rakyat.

“Ia jelas menunjukkan suara rakyat sentiasa menjadi keutamaan kerajaan,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat