Malaysia Semakin Hampir Jadi ‘Harimau Asia’ Semula – Penganalisis

PETALING JAYA: Prestasi ekonomi semasa serta strategi fiskal yang diterajui Kerajaan MADANI menjadi petunjuk bahawa Malaysia semakin menghampiri status sebagai Harimau Asia, menurut Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan.

Beliau menyifatkan pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan kestabilan ekonomi dan penyampaian manfaat langsung kepada rakyat sebagai bukti komitmen kerajaan dalam membina pertumbuhan yang inklusif dan mampan.

“Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang memberangsangkan, pemulihan hasil melalui penyasaran subsidi diesel serta penyampaian bantuan tunai seperti STR dan SARA menunjukkan pengurusan fiskal yang baik.

“Ini sekali gus mencerminkan hala tuju ekonomi negara sedang bergerak ke landasan yang betul, walaupun banyak halangan global seperti ketidaktentuan geopolitik,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.

Azmi turut menjelaskan bahawa meskipun Perdana Menteri tidak secara langsung menyebut sasaran menjadi Harimau Asia, langkah-langkah yang diumumkan sejajar dengan cita-cita itu

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tidak mahu kejar label negara maju secara tergesa-gesa.

“Sebaliknya, beliau (Anwar) tekankan bahawa pertumbuhan ekonomi mesti dirasai rakyat terlebih dahulu.

“KDNK naik, bantuan kepada rakyat pun naik, inilah ciri ekonomi berdaya tahan yang menyumbang kepada naratif Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan pemacu serantau,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan turut memanfaatkan strategi komunikasi yang berkesan termasuk pengumuman awal dan pelaksanaan berperingkat bagi setiap inisiatif yang membantu memperkukuh keyakinan rakyat.

“Ini bukan retorik. Ia hasil daripada penyusunan ekonomi sejak hari pertama pentadbiran MADANI,” katanya lagi.

Anda Mungkin Berminat