PETALING JAYA: Keluarga mendiang Teoh Beng Hock menolak jemputan menghadiri perhimpunan anti-kerajaan anjuran Perikatan Nasional (PN) Sabtu ini, dengan menyifatkan tindakan itu sebagai tidak berprinsip dan mencetuskan luka lama.
Adik mendiang, Teoh Lee Lan berkata, pihaknya menerima jemputan daripada penganjur, namun tidak akan menghadirinya atas faktor prinsip dan sejarah pahit yang masih membekas.
Menurutnya, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah menganiaya keluarga mereka ketika menjadi Menteri Dalam Negeri dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perdana Menteri selepas itu.
“Kesakitan luka itu masih berlarutan dan kemudaratan masih jelas dalam ingatan kami.
“Bagaimana mungkin seseorang tanpa segan silu melupakan semua itu dan tiba-tiba menjemput kami ke acara berkenaan?” katanya, dipetik daripada Malaysiakini pada Jumaat.
Lee Lan turut mendakwa Muhyiddin pernah memfitnah keluarganya sebagai ‘tamak’ selepas menerima pampasan dan mendakwa kononnya semua saluran undang-undang telah digunakan.
Katanya, kenyataan itu jelas menafikan hak mereka untuk terus menuntut keadilan, termasuk melalui semakan kehakiman terhadap klasifikasi siasatan polis yang menyifatkan kematian Beng Hock sebagai kes bunuh diri.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kemajuan Demokrasi Teoh Beng Hock (TBH-ADA), Ng Yap Hwa berkata, pihaknya menolak untuk bersama dengan mana-mana kekuatan politik yang bersifat perkauman dan tidak sehaluan.
“Mereka yang berbeza haluan tidak boleh merancang bersama,” katanya memetik petikan falsafah Konfusius.
Tambah Ng, TBH-ADA tetap konsisten memperjuangkan masyarakat yang menghormati hak asasi manusia dan menolak penyeksaan, tanpa menggunakan jalan politik yang tidak beretika.
Pada 2009, Beng Hock yang juga setiausaha politik kepada Exco Selangor ketika itu, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati selepas disoal siasat semalaman di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Plaza Masalam, Shah Alam.
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada 2011 mendakwa Beng Hock membunuh diri akibat soal siasat agresif. Namun pada 2014, Mahkamah Rayuan memutuskan kematiannya berpunca daripada tindakan tidak wajar pegawai SPRM.
Pada November lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan siasatan diselesaikan dalam tempoh enam bulan, namun Jabatan Peguam Negara pada Mei lepas mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai ‘tiada tindakan lanjut’.
Baca juga: