Shahrul Ikram rasmi Duta Besar Malaysia ke AS

WASHINGTON: Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob secara rasmi dilantik menjadi Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) yang ke 18, berkuat kuasa sejak 3 Jun lalu.

Perkara itu disahkan selepas beliau menyerahkan Surat Tauliah kepada Presiden Donald J. Trump dalam satu majlis di Rumah Putih.

Difahamkan, penerimaan rasmi itu menandakan Shahrul kini boleh menjalankan tugas sepenuhnya sebagai wakil sah kerajaan Malaysia di Washington.

Dalam masa sama, Shahrul berpeluang bertukar pendapat secara ringkas dengan Presiden Trump dan menyampaikan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh hubungan dua hala yang terjalin sejak 1957.

“Saya berbesar hati diberi amanah untuk mewakili Malaysia di Amerika Syarikat dan akan terus berusaha memperkukuh hubungan dua hala yang sedia terjalin sejak sekian lama,” katanya dalam satu kenyataan.

Shahrul turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Trump atas penyertaan Setiausaha Negara, Marco Rubio dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-48 dan Mesyuarat Berkaitan di Kuala Lumpur dari 8 hingga 11 Julai lalu.

“Kehadiran beliau membuktikan komitmen berterusan Amerika Syarikat terhadap rantau ini serta memperkukuh lagi Hubungan Komprehensif Malaysia-AS,” katanya.

Untuk rekod, Shahrul pernah memegang jawatan tinggi seperti Timbalan Ketua Setiausaha (Perhubungan Dua Hala), Ketua Pengarah Sekretariat ASEAN-Malaysia semasa Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 2015, dan juga Ketua Setiausaha (Secretary-General) Kementerian Luar antara 6 Januari 2019 hingga 31 Mei 2022.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat