KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya kekal berpegang teguh kepada prinsip demokrasi termasuk menjamin kebebasan bersuara dan menyatakan kritikan secara terbuka serta tertib.
Dalam satu kenyataan selepas berlangsungnya himpunan aman di ibu negara hari ini, Anwar menzahirkan penghargaan kepada seluruh petugas keselamatan termasuk anggota polis, bomba, pasukan perubatan dan sukarelawan yang telah menjalankan tanggungjawab dengan disiplin tinggi serta memastikan kelancaran acara.
“Kritikan dan perbezaan pandangan tidak seharusnya dilihat dari lensa permusuhan.
“Ia harus terus bercambah dan subur mekar menjadi denyut nadi negara bangsa yang matang, progresif dan berdaulat,” ujar beliau.
Anwar turut mengingatkan bahawa suara rakyat sentiasa diberi ruang sewajarnya termasuk menerusi Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Parlimen yang membuka peluang kepada Ahli Parlimen untuk bertanya soalan dan membangkitkan isu secara langsung kepada beliau.
“Saya mohon rakyat terus desak wakil-wakil mereka untuk hadir dan aktif dalam sesi-sesi Parlimen, khususnya PMQT.
“Saluran ini penting dalam mengekalkan semangat demokrasi yang sihat,” katanya.
Perdana Menteri turut menyeru rakyat untuk terus mengangkat budaya dialog dan wacana secara matang dalam pelbagai platform, bukan sekadar melalui protes jalanan.
Sebaliknya dengan mendalami ilmu, menguasai bidang baharu serta menyumbang dalam pembangunan negara.
Di samping itu, Anwar menyatakan komitmen kerajaan dalam memulihara tapak bersejarah di Kuala Lumpur seperti Bangunan Sultan Abdul Samad sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa pelancongan tempatan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Kuala Lumpur bukan sekadar pusat pentadbiran, tetapi simbol semangat nasional.
“Kami alu-alukan kunjungan rakyat kembali ke ibu kota ini yang sarat nilai sejarah dan harapan,” kata Anwar.
Kenyataan ini dilihat sebagai manifestasi komitmen Kerajaan MADANI terhadap keterbukaan, keamanan, dan pembangunan inklusif negara dengan rakyat sebagai rakan kongsi utama.
Baca juga: