MUAR: Suasana penuh semangat dan perpaduan menyelubungi Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang yang berlangsung di Muar hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir bersama segenap lapisan masyarakat bagi menyemarakkan semangat kebangsaan menjelang sambutan Hari Kemerdekaan.
Dalam ucapannya, Anwar menyeru rakyat untuk menjiwai makna kemerdekaan secara mendalam, bukan sekadar dari sudut fizikal tetapi juga spiritual.
“Kemerdekaan bukan hanya sejarah tetapi amanah yang perlu terus disuburkan dalam jiwa rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Anwar turut menekankan pentingnya kepimpinan berwawasan yang mampu memacu pembangunan ekonomi demi kesejahteraan bersama.
“Rakyat perlu merasai hasil kemajuan dan kepimpinan yang berpandukan wawasan, dipacu dengan semangat juang yang tidak pernah luntur demi manfaat pembangunan ekonomi yang dapat dinikmati bersama,” katanya.
Mengulas semangat perpaduan, Anwar berkata, kemerdekaan dicapai hasil kekuatan kebersamaan rakyat Malaysia, walaupun berbeza pandangan.
“Merdeka dicapai kerana kekuatan kebersamaan kita semua, meskipun wujud perbezaan pendapat, namun rakyat mesti diberi perlindungan, kasih sayang dan pembelaan secukupnya,” katanya.
Beliau turut mengajak seluruh rakyat mengangkat martabat bangsa dan negara dengan tekad yang tidak pernah pudar.
“Mari kita mengangkat martabat bangsa dan negara dengan tekad yang berterusan,” ujarnya.