PETALING JAYA: Himpunan ‘Turun Anwar’ yang berlangsung pada Sabtu disifatkan tidak membawa sebarang manfaat kepada kestabilan politik negara, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau berkata, demonstrasi seumpama itu sering berlaku apabila Pilihan Raya semakin hampir, namun ia tidak membantu mengukuhkan demokrasi negara.
Memetik laporan Dayak Daily, Abdul Karim berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dilantik melalui proses demokrasi dan wajar diberi peluang menamatkan tempoh pentadbirannya.
“Hanya kerana satu kesilapan kecil, tidak bermakna kita perlu segera mendesak beliau meletakkan jawatan. Itu bukan pendekatan yang betul,” katanya.
Abdul Karim turut menyentuh kejayaan pentadbiran Anwar dalam meningkatkan hasil negeri Sarawak, dari RM6 bilion kepada RM14 bilion dengan belanjawan tahunan kini mencecah RM15.8 bilion antara yang tertinggi di Malaysia.
Menurutnya, kedudukan kewangan negeri yang kukuh kini membolehkan Sarawak berdikari daripada Kerajaan Persekutuan dalam pembangunan infrastruktur.
“Kita malah melangkah lebih jauh dengan merancang untuk melancarkan syarikat penerbangan sendiri serta menyediakan dana pendidikan tinggi percuma untuk pelajar Sarawak.
“Malah, dana kekayaan berdaulat khas berjumlah RM8 bilion juga telah ditubuhkan bagi menjamin masa depan generasi akan datang,” jelasnya.








