PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen kerajaan untuk terus melaksanakan reformasi secara berfasa dan terbuka terhadap teguran, sambil menyambut baik proses demokrasi termasuk cadangan usul undi tidak percaya oleh pembangkang.
Dalam pertemuan bersama pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan tengah hari tadi, Anwar menyeru anggota parti agar kekal berpegang pada prinsip islah mastata’tum, iaitu berusaha melakukan perubahan sedaya upaya.
“Kita tidak mampu menyempurnakan segalanya dalam sekelip mata tetapi reformasi ini tetap kita bawa ke hadapan, setahap demi setahap,” katanya.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada semua yang berhimpun secara aman semalam, namun meluahkan sedikit kekesalan kerana tiada isu pokok yang diketengahkan.
“Saya sentiasa bersedia mendengar apa jua teguran dan kritikan, namun sedikit kesal kerana tiada isu pokok yang diketengahkan. Yang kedengaran cuma satu ‘Turunkan Anwar’,” katanya.
Mengulas cadangan Ketua Pembangkang untuk membawa usul undi tidak percaya, Anwar menyambutnya dengan tenang.
“Silakan. Ini negara demokrasi. Usul itu satu proses yang sah. Jika cukup jumlah, bawa saja ke Parlimen,” katanya.
Beliau yang juga Presiden PKR berkata, kerajaan tidak mendakwa dirinya sempurna tetapi sentiasa terbuka untuk membaiki kelemahan.
“Apa yang kurang, akan kita baiki. Apa yang belum selesai, akan kita usahakan.
“Namun reformasi itu mesti dilaksanakan secara berfasa agar dapat diterima, difahami dan berkekalan,” ujarnya.
Dalam ucapannya, Anwar turut mengumumkan penurunan harga RON95 kepada RM1.99 bagi rakyat Malaysia melalui penarikan subsidi daripada warga asing.
“Ini langkah berani dan rasional demi memastikan wang negara dimanfaatkan oleh rakyat terbanyak dan membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup, tanpa meruntuhkan asas ekonomi negara,” katanya lagi.
Beliau menutup ucapannya dengan penegasan bahawa PKR mesti kekal sebagai parti masa depan yang matang, terbuka dan bersatu.
“Kita bukan sempurna. Tapi kita jujur dan selagi ada kejujuran serta semangat untuk membaiki, kita akan terus mara melangkaui mereka yang hanya tahu menjerit tanpa arah dan tawaran,” katanya.
Majlis ini berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan dihadiri oleh pimpinan serta anggota akar umbi PKR dari seluruh Wilayah Persekutuan.