PARLIMEN | Kerajaan menegaskan bahawa lesen penjaja yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah keistimewaan khusus untuk warganegara Malaysia.
Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, warga asing dilarang daripada terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam kegiatan perniagaan kecil.
“Kami tidak mengiktiraf warga asing sebagai penjaja atau peniaga kecil, malah mereka juga tidak dibenarkan menjadi pekerja pembantu di bawah lesen penjaja premis PBT.
“Lesen ini adalah keistimewaan yang dikhaskan untuk rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun di Dewan Rakyat berhubung kebebasan warga asing membuka perniagaan serta tindakan terhadap premis yang didaftarkan atas nama rakyat tempatan tetapi dikendalikan sepenuhnya oleh warga asing.
Nga turut menjelaskan wujudnya cubaan memanipulasi sistem, termasuk menggunakan nama pasangan warga tempatan dan ‘menyewa’ lesen penjaja daripada rakyat Malaysia.
Tindakan sedemikian, katanya, menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat dan persepsi kononnya kerajaan membenarkan penyertaan warga asing dalam perniagaan kecil.
“Pihak berkuasa tempatan sentiasa menjalankan pemantauan dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan ini,” tegas beliau.