Johari Bawa Suara Malaysia, Palestin ke Pentas Dunia

PETALING JAYA: Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul akan mewakili ASEAN di Persidangan Speaker Parlimen Sedunia ke-6, yang berlangsung di Palais des Nations, Geneva dari 28 hingga 31 Julai.

Persidangan berprestij itu dianjurkan oleh Inter-Parliamentary Union (IPU) bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menghimpunkan lebih 110 Speaker Parlimen dari seluruh dunia.

Sebagai Presiden AIPA, Johari membawa mandat memperkukuh kerjasama antara-parlimen ASEAN dan mempertahan keadilan serta keselamatan sejagat.

“Malaysia akan terus bersuara menentang kezaliman yang berlarutan di Gaza.

“Dunia tidak boleh terus berdiam diri apabila hak asasi dan undang-undang antarabangsa dilanggar sewenang-wenangnya,” menurut kenyataan rasmi dari Parlimen Malaysia.

Johari dijadual menyampaikan ucapan pada 29 Julai, dalam sesi Debat Umum bertemakan kerjasama parlimen dan multilateralisme demi keamanan dan keadilan.

Ucapan itu dijangka mengetengahkan kepentingan sistem global berasaskan undang-undang, peranan parlimen bebas dan prinsip keadilan sejagat dalam menangani konflik antarabangsa.

Turut dimaklumkan, beliau akan mengadakan sesi pertemuan dua hala dengan pemimpin legislatif dunia termasuk dari Iran bagi membincangkan usaha memperkukuh Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa.

“Dialog antara-parlimen merupakan saluran penting untuk mencari jalan penyelesaian damai, berpandukan semangat Piagam PBB dan prinsip kemanusiaan sejagat,” kata kenyataan itu lagi.

Anda Mungkin Berminat