PETALING JAYA: Seramai 42 jemaah umrah Malaysia terkandas di Jeddah sejak 25 Julai akibat masalah ketiadaan tiket penerbangan pulang ke tanah air.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, pihak kerajaan sedang menyegerakan bantuan melalui Kedutaan Besar Malaysia di Arab Saudi.
“Kerajaan memandang serius kes sebegini dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menipu atau memperdaya jemaah, lebih-lebih lagi melibatkan warga emas dan penjawat awam,” tegasnya.
Mohd Na’im menegaskan bahawa individu atau ejen yang didapati bersalah berdepan tindakan undang-undang termasuk hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda berat dan sebatan sekiranya disabit kesalahan.
“Tindakan tegas termasuk hukuman penjara hingga 10 tahun, denda serta sebat menanti terhadap pihak yang bersekongkol atau bersalah dalam isu penipuan atau kegagalan mengurus jemaah dengan baik,” katanya.
Beliau turut menyeru umat Islam agar sentiasa berwaspada dan membuat semakan pakej umrah hanya melalui saluran rasmi portal dan aplikasi ejen pelancongan berlesen serta saluran di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Orang ramai perlu membuat semakan status syarikat dan pakej umrah melalui saluran rasmi MOTAC.
“Saya menyeru umat Islam di negara ini agar sentiasa berwaspada dan hanya memilih pengendali umrah yang sah, berlesen dan berdaftar dengan pihak berkuasa,” katanya lagi.