Perdagangan Malaysia 2024 Cecah RM2.9 Trilion – DOSM

PETALING JAYA: Perdagangan luar Malaysia terus menunjukkan prestasi menggalakkan apabila jumlah dagangan 2024 mencecah RM2.9 trilion, meningkat 9.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Prestasi ini mengekalkan momentum kukuh negara untuk empat tahun berturut-turut, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, lebihan dagangan kekal pada RM139.1 bilion, walaupun menyusut sebanyak 35.4 peratus.

“Jumlah eksport meningkat 5.8 peratus kepada RM1.5 trilion, manakala import melonjak 13.1 peratus kepada RM1.4 trilion.

“Eksport domestik yang menyumbang lebih 80 peratus daripada keseluruhan eksport, didorong oleh barangan elektrik dan elektronik, minyak sawit serta jentera,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, eksport semula mencatat penurunan sebanyak tujuh peratus.

Mohd Uzir berkata, antara destinasi eksport utama ialah Amerika Syarikat, Taiwan, Singapura dan India, manakala import meningkat dari China, AS dan Taiwan, dipacu oleh permintaan terhadap barangan elektrik dan jentera.

Bagi sektor perkilangan dan pertanian, beliau berkata, ia menyumbang kepada eksport bernilai RM83.1 bilion dengan peningkatan ketara bagi elektrik dan elektronik (RM26.1 bilion), minyak sawit (RM8.5 bilion) dan jentera (RM11.8 bilion).

Katanya lagi, import berdasarkan kategori penggunaan turut menunjukkan peningkatan terhadap barangan modal (+29%), barangan penggunaan (+12.8%) dan barangan perantaraan (+20.7%).

“Prestasi perdagangan 2024 mencerminkan keyakinan terhadap daya saing Malaysia di pentas global dan rantau ini,” ujarnya.

Malaysia juga mencatat pencapaian tertinggi dunia dalam Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, selain bakal mempengerusikan Jawatankuasa Statistik ASEAN 2025 iaitu satu langkah strategik yang memperkukuh kedudukan negara dalam pembangunan statistik serantau.

Anda Mungkin Berminat