PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbicara melalui panggilan telefon dengan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr malam tadi, sejurus tiba dari Jakarta.
Menurut hantaran di Facebook, perbincangan tersebut menyentuh pelbagai isu penting yang melibatkan perkembangan semasa di rantau Asia Tenggara.
Anwar memaklumkan bahawa perbincangan turut merangkumi lawatan Presiden Marcos Jr ke Amerika Syarikat serta peranan penting ASEAN dalam memperkukuh kerjasama serantau.
Kedua-dua pemimpin turut membincangkan kemajuan dalam usaha perdamaian antara Kemboja dan Thailand, yang kini menunjukkan hasil positif meskipun beberapa insiden mencabar proses tersebut.
Anwar berkata, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 memainkan peranan aktif dalam memudah cara rundingan damai yang membawa kepada gencatan senjata serta-merta antara kedua-dua negara.
Anwar turut menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan konstruktif kuasa-kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat serta rakan-rakan ASEAN dalam menjayakan rundingan tersebut.
“ASEAN perlu terus kekal bersatu, berprinsip dan berpaksikan dialog dalam mendepani tantangan serantau dan global,” katanya.
Pertemuan itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Malaysia untuk memperkukuh perpaduan serantau dan memastikan ASEAN kekal relevan sebagai platform penyelesaian konflik secara damai dan berdaulat.