KUALA LUMPUR: Sebanyak 16 program berimpak tinggi diluluskan sehingga Julai 2025 menerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), khusus untuk memperkasa komuniti India.
Menurut Pejabat Perdana Menteri, inisiatif itu meliputi tiga bidang utama iaitu pendidikan dan latihan, kerohanian dan kebudayaan serta kesejahteraan sosial.
“Langkah ini selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan komuniti India tidak dipinggirkan dalam agenda pembangunan negara,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Bagaimanapun, beberapa permohonan tidak dapat diluluskan kerana bertindih dengan inisiatif di bawah kementerian lain seperti KBS, KKM dan KUSKOP.
Antara yang ditolak termasuk program TVET yang berada di bawah bidang kuasa Majlis TVET Negara.
“Kerajaan akan pastikan tiada pertindihan peranan agar sumber dapat digunakan secara optimum dan menyeluruh.
“Usaha penyelarasan akan diteruskan bagi menilai pelaksanaan inisiatif strategik lain untuk komuniti India” jelas kenyataan itu lagi.








