WASHINGTON: Presiden Donald Trump sekali lagi menggegarkan suasana perdagangan global apabila menandatangani perintah eksekutif mengenakan tarif 50 peratus ke atas kebanyakan barangan import dari Brazil.
Kadar itu melonjak jauh daripada tarif asal 10 peratus dan menurut kenyataan rasmi, ia berkait rapat dengan kes pendakwaan bekas Presiden Jair Bolsonaro atas dakwaan mencuba mencabul keputusan pilihan raya 2022.
Walaupun beberapa pengecualian diberi termasuk produk tenaga, jus oren dan pulpa kayu, dua eksport utama Brazil iaitu daging lembu dan kopi kekal terjejas.
Langkah itu dijangka memberi impak besar kepada sektor agrikultur Brazil khususnya pengusaha kecil yang bergantung kepada pasaran Amerika Syarikat (AS).
Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva, tidak berdiam diri, beliau menegaskan bahawa “Brazil tidak akan tunduk” kepada tekanan perdagangan Washington.
Sebagai langkah strategik, beliau turut mengumumkan pendalaman hubungan dagang dengan China yang sudah bermula sejak Mei lalu.
Dalam tempoh dua bulan, China telah membeli lebih 2.4 juta tan kacang soya dari Brazil, satu langkah yang dilihat sebagai pengimbangan terhadap pengaruh AS.
Brazil juga membuka pejabat penasihat cukai di Beijing dan menjalin perjanjian baru dalam bidang tenaga, agrikultur dan infrastruktur.
Dalam perkembangan berkait, India turut menerima nasib sama apabila Trump mengumumkan tarif 25 peratus ke atas eksport negara itu bermula 1 Ogos.
Alasan yang diberikan termasuk pembelian senjata dan tenaga dari Rusia, halangan perdagangan bukan monetari serta penyertaan India dalam blok BRICS yang dianggap oleh Trump sebagai ‘anti-Amerika’.
India mengkritik tindakan tersebut dengan jurucakap Kementerian Perdagangan menegaskan komitmen negara itu terhadap rundingan ‘adil dan berimbang’ serta menekankan keperluan melindungi perusahaan kecil dan petani tempatan.
Penganalisis ekonomi memberi amaran bahawa kedua-dua negara dijangka mengalami kelembapan dalam jangka pendek.
Eksport Brazil mungkin kehilangan daya saing sementara India berdepan risiko pengalihan pasaran ke negara Asia Tenggara seperti Vietnam dan Indonesia yang dikenakan tarif lebih rendah.