KUANTAN: Seorang anggota polis cedera dalam insiden mengejutkan apabila ditetak dengan parang oleh seorang lelaki didakwa mengalami masalah mental, dalam kejadian di sebuah rumah di Felda Bukit Kuantan, semalam.
Kejadian berlaku sekitar pukul 5.30 petang ketika sepasukan anggota dari Balai Polis Panching dikerahkan ke lokasi susulan laporan mengenai seorang lelaki yang mengamuk sambil memegang senjata tajam.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, Koperal Mohd Shafril Izzwan Ismail, 37, mengalami kecederaan di belakang badan, dagu dan jari tangan kiri selepas diserang ketika cuba menenangkan keadaan.
“Ketika menjalankan tugas menenangkan keadaan, Mohd Shafril telah diserang suspek menggunakan senjata tajam.
“Mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan kini dirawat di Zon Kuning,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, suspek berusia 37 tahun, yang tidak mempunyai pekerjaan dan dipercayai mengalami gangguan mental telah ditahan di lokasi kejadian.
“Polis turut merampas beberapa bilah senjata tajam di tempat kejadian dan suspek telah dirujuk ke Wad Psikiatri HTAA untuk pemeriksaan lanjut,” tambah beliau.
Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.








