Aliff Syukri Cipta Rekod MBOR, Jualan Beg Tangan RM1 Juta Dalam 2 Minit 32 Saat

PETALING JAYA: Usahawan terkenal dan ikon media sosial, Datuk Seri Aliff Syukri sekali lagi membuktikan keupayaannya dalam dunia perniagaan apabila berjaya mencipta rekod baharu dalam The Malaysia Book of Records (MBOR).

Beliau mencatat sejarah sebagai individu pertama yang berjaya menjual beg tangan bernilai lebih RM1 juta dalam masa terpantas melalui penstriman langsung, iaitu hanya dalam tempoh 2 minit 32 saat.

Kejayaan luar biasa ini tercetus menerusi pelancaran koleksi eksklusif Samma Bag Denim Edition yang dipertaruhkan oleh Aliff Syukri dalam sesi jualan langsung di platform TikTok @papalarisofficial pada pukul 8 malam tadi.

Sejurus ‘beg kuning’ dibuka, ribuan penonton membanjiri siaran langsung tersebut dan menyebabkan jualan melonjak secara mendadak dalam masa yang amat singkat.

Apa yang lebih mengagumkan, detik bersejarah itu turut disaksikan oleh keluarga Aliff Syukri termasuk isteri tercinta dan anak-anak tersayang yang bersama-sama bertungkus lumus menjayakan sesi jualan tersebut.

Kegembiraan jelas terpancar di wajah mereka apabila rekod berjaya dipecahkan secara langsung di hadapan ribuan penonton.

Sebagai tanda penghargaan kepada para pembeli, Aliff Syukri turut menawarkan pelbagai hadiah eksklusif termasuk percutian ke Sugeh Resort miliknya, emas, pakej umrah serta cabutan bertuah berupa kereta dan motosikal.

Sebanyak 50 pembeli bertuah juga berpeluang memenangi hadiah melalui cabutan “gores dan menang” yang diadakan khas sempena pelancaran tersebut.

Dalam pada itu, Aliff Syukri turut menyatakan hasrat untuk menyumbangkan sebahagian daripada keuntungan jualan kepada rumah anak yatim terpilih sebagai sebahagian daripada nazar peribadi beliau.

Kejayaan itu bukan sekadar angka tetapi menjadi bukti bahawa gabungan strategi digital, semangat keusahawanan dan sokongan keluarga mampu mencipta sejarah baharu dalam dunia perniagaan tempatan.

Anda Mungkin Berminat