TYT Sarawak, Isteri Rakam Ucapan Tahniah Sempena Ulang Tahun Kelahiran Premier Sarawak ke-75

KUCHING: Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, telah merakamkan ucapan tahniah sempena ulang tahun kelahiran ke-75 Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Premier Sarawak.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Astana Negeri Sarawak, TYT Tun dan Toh Puan turut menzahirkan doa agar Abang Abdul Rahman Zohari sentiasa berada dalam rahmat dan perlindungan Allah SWT, dikurniakan kesihatan tubuh badan serta kekuatan dan kebijaksanaan dalam meneruskan amanah memimpin negeri.

Ucapan tersebut turut disertai dengan penghargaan terhadap kepimpinan Premier Sarawak yang telah membawa banyak perubahan positif kepada negeri itu.

Di bawah pentadbiran beliau, negeri ini terus mencatat kemajuan dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, infrastruktur, pendidikan, serta teknologi hijau dan digital.

TYT Tun dan Toh Puan menyifatkan kepimpinan Premier Sarawak sebagai tegas namun inklusif, berteraskan semangat kebersamaan dan kemajuan untuk semua lapisan rakyat.

Usaha gigih beliau dalam memperkukuh kedudukan Sarawak dalam Persekutuan menerusi perjuangan berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) turut diberi perhatian tinggi oleh pelbagai pihak.

Mengakhiri ucapan, TYT Tun Pehin Sri dan Toh Puan menyatakan harapan agar Premier Sarawak terus diberi kekuatan dan petunjuk dalam menerajui Sarawak ke arah negeri maju, sejahtera dan bersatu padu demi manfaat generasi kini dan masa depan.

Anda Mungkin Berminat