Oleh: Tyah Helmi
PARLIMEN | Kerajaan akan memperluaskan penggunaan sistem ‘autogate’ secara menyeluruh di pintu masuk negara bagi membanteras isu manipulasi imigresen seperti ‘Counter Setting’ dan ‘Flying Passport’ yang mencemarkan imej negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa kerajaan tidak lagi akan bertoleransi terhadap sebarang salah laku berkaitan sistem imigresen.
“Mereka dikategorikan dalam ‘suspect list’, iaitu individu yang mempunyai sekatan ke luar negara tak kiralah kalau permintaan itu datang daripada Jabatan Penjara, Insolvensi, Polis, SPRM, Mahkamah, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kastam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Bagi mengekang manipulasi sistem imigresen, Saifuddin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memasang sebanyak 635 unit Autogate di 123 pintu masuk sempadan yang berada di bawah seliaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
“Rencanya, kita akan mempunyai 635 autogate di 123 pintu masuk di bawah AKPS.
“Bermula Disember ini. Ia akan dipasang di Kompleks Sultan Abu Bakar, Bangunan Sultan Iskandar, Johor, KLIA1 dan 2, Lapangan Terbang Kuching, Lapangan Terbang Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Pulau Pinang.
“Pada Mac 2028 nanti, kita akan lakukan ‘rollout’ sepenuhnya. Jadi itu langkah ke hadapan apabila kita bergerak ke arah perkhidmatan pendigitalan ‘Autogate’,” ujarnya.
Menurut beliau, sistem itu akan merekodkan data biometrik seperti pengecaman wajah, imbasan iris dan cap jari, sekali gus mengurangkan risiko manipulasi.
“Dengan sendirinya, manipulasi seperti yang saya senaraikan tadi akan dapat kita atasi,” kata beliau.
“KDN sekarang dalam proses Proof of Concept (POC) untuk pemakaian BodyWorn Camera oleh petugas Jabatan Imigresen di pintu masuk utama negara khususnya KLIA,’ katanyam
Beliau berkata, proses perolehan dijangka bermula September ini dengan sasaran kelulusan sebanyak 614 unit kamera bagi meningkatkan ketelusan operasi di lapangan.
Selain itu, katanya, Sistem Jaringan Awal Penumpang (Advance Passenger Screening System) akan diperkenalkan hujung tahun ini melalui kerjasama strategik antara KDN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Malaysia Airports Berhad dan pasukan keselamatan penerbangan.
“Sistem ini melibatkan dua komponen iaitu Advance Passenger Information (API) dan Passenger Name Record (PNR), dimulakan dengan 10 syarikat penerbangan daripada 56 yang beroperasi.
“Ini membolehkan kita memperoleh maklumat awal ketibaan penumpang sebelum mereka tiba di tanah air,” katanya lagi.
Dalam aspek integriti, Saifuddin berkata, KDN giat melaksanakan latihan dan program kesedaran berdasarkan Pelan Antirasuah Imigresen dengan kerjasama SPRM, PDRM dan agensi berkaitan.
“Setakat ini, sebanyak 185 kursus kesedaran telah dilaksanakan bagi memperkukuh nilai integriti dalam kalangan anggota penguat kuasa imigresen,” tambah beliau.
Saifuddin yakin bahawa langkah-langkah ini akan mempertingkatkan tahap kecekapan, profesionalisme dan keyakinan rakyat terhadap sistem keselamatan di pintu masuk negara.








