MCMC Selesai Siasat Tiga Pempengaruh Isu Sisa Makanan Gelandangan

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melakukan siasatan terhadap tiga pempengaruh media sosial berhubung video tular yang memaparkan pemberian sisa makanan kepada seorang gelandangan baru-baru ini.

Dalam kenyataan media, MCMC memaklumkan bahawa kandungan video tersebut dipercayai bersifat jelik dan telah mencetuskan kemarahan serta kecaman meluas dalam kalangan pengguna internet.

Malah, katanya, ia turut menyentuh sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Sesi rakaman keterangan dan siasatan lanjut telah dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, Johor pada hari ini.

Difahamkan, tiga unit telefon bimbit dan tiga keping kad SIM telah disita bagi membantu siasatan.

Sebagai langkah susulan, MCMC menegaskan komitmennya untuk memperkukuh literasi digital melalui Kempen Internet Selamat (KIS), yang bertujuan membentuk masyarakat celik digital, beretika dan bertanggungjawab.

“Inisiatif ini turut menyemai budaya penciptaan kandungan yang berhemah, beretika dan beradab, selain meningkatkan kesedaran terhadap nilai-nilai murni dalam ekosistem digital negara,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat