GAZA: Tabung Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mengeluarkan kenyataan tegas menggesa gencatan senjata segera di Gaza, susulan statistik mengerikan yang menunjukkan purata 28 kanak-kanak terbunuh setiap hari akibat serangan dan krisis kemanusiaan yang berlarutan.
Dalam ciapan di laman X, UNICEF menyatakan bahawa kebanyakan kanak-kanak terbunuh bukan sahaja akibat pengeboman tetapi juga kerana kebuluran, kekurangan zat makanan dan ketiadaan bantuan asas.
“Dibunuh oleh bom. Mati akibat kekurangan zat makanan dan kebuluran. Mati kerana ketiadaan bantuan dan perkhidmatan asas.
“Di Gaza, purata 28 kanak-kanak sehari bersamaan satu bilik darjah terbunuh.” kata UNICEF.
UNICEF berkata, kanak-kanak Gaza amat memerlukan makanan, air bersih, ubat-ubatan dan perlindungan.
Namun, katanya, perkara paling mendesak ketika ini adalah penghentian segera peperangan.
“Mereka memerlukan gencatan senjata, sekarang,” tegas UNICEF.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa kesihatan Gaza melaporkan 81 rakyat Palestin terbunuh sejak subuh Selasa, kebanyakannya ketika cuba mendapatkan bantuan kemanusiaan.
Lebih separuh daripada mangsa dipercayai ditembak oleh tentera Israel ketika berada di zon bantuan.
Kadar kebuluran juga semakin kritikal. Menurut Majlis Pelarian Denmark (DRC), 70 peratus penduduk Gaza kini mengalami kelemahan ekstrem akibat kekurangan zat makanan, menjadikan usaha menyampaikan bantuan semakin sukar.
Susulan gesaan pegawai Hamas, Osama Hamdan, agar penyelesaian segera dicapai, Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) turut menyeru agar satu perjanjian kemanusiaan dimeterai antara Hamas dan Israel bagi membolehkan bantuan disalurkan tanpa halangan.
Sejak konflik tercetus pada 7 Oktober 2023, lebih 60,933 rakyat Palestin terbunuh, manakala 150,027 lagi cedera termasuk lebih 18,000 kanak-kanak.
Statistik ini bersamaan dengan kematian seorang kanak-kanak setiap jam, satu realiti yang amat menyayat hati.