PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pembangunan negara tidak seharusnya diukur melalui kemegahan bangunan pencakar langit semata-mata, sebaliknya perlu berteraskan keperluan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah yang bergantung kepada rumah mampu milik tajaan kerajaan.
Dalam ucapannya di Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Residensi Wilayah Aman Lumayan Madani di Cheras, hari ini, Anwar menyelar pendekatan pembangunan yang lebih mengutamakan golongan atasan, sedangkan kemudahan asas untuk rakyat biasa masih terabai.
“Mereka bina bangunan megah dan moden untuk golongan atasan tetapi sekolah, klinik, medan selera dan taman permainan dibiarkan daif. Ini perlu diperbetulkan,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan berteraskan prinsip Madani harus bersifat menyeluruh, bukan sekadar membina rumah semata-mata.
Katanya, ia perlu merangkumi aspek pendidikan, mitigasi banjir, sistem jalan raya, tempat letak kereta dan keselamatan penduduk.
“Saya kurang puas hati dengan komponen pendidikan. Untuk projek baharu, sekolah mesti disediakan.
“Saya mungkin akan keluarkan perintah khas supaya ia dijadikan syarat wajib,” tegasnya.
Anwar turut menyuarakan komitmennya untuk menjadi pemimpin yang mendengar suara rakyat dan memahami realiti kehidupan di lapangan, bukan sekadar melaksanakan perancangan dari atas tanpa mengambil kira keperluan sebenar masyarakat.
Beliau menggesa semua pihak termasuk kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan agensi penguat kuasa agar berganding bahu memastikan projek perumahan rakyat dibina dengan struktur yang kukuh, selesa dan lengkap dengan perkhidmatan penting seperti balai polis dan bomba.
Dalam perancangan bandar, katanya, tahap pendapatan rakyat perlu menjadi pertimbangan utama agar pembangunan benar-benar inklusif.
“Kita tidak halang restoran mewah tetapi dalam kawasan perumahan kerajaan, mesti ada gerai makan untuk rakyat.
“Terima kasih kepada DBKL yang sediakan kawasan penjaja tapi tolong tengok bumbung dan lantai ada yang belum siap. Itu tanggungjawab kerajaan,” katanya.
Anwar turut menegaskan bahawa projek perumahan seperti ini dilaksanakan dengan niat yang ikhlas demi kesejahteraan rakyat, bukan untuk menguntungkan mana-mana pihak.
“Kita mulakan projek ini dengan ikhlas, bukan untuk kayakan sesiapa.
“Walaupun membebankan kewangan negara, kita tetap teruskan demi rakyat,” katanya lagi.