Maritim Malaysia tumpaskan cubaan seludup petrol di Semporna

SEMPORNA: Cubaan sindiket menyeludup petrol bernilai lebih RM10,000 di perairan Pulau Bum Bum berjaya dipatahkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Semporna dalam operasi bersama semalam.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir bin Shubli berkata, kejayaan itu adalah hasil risikan menerusi pelaksanaan Ops Pluto Timur 2/2023, Ops Khas Cegah PATI (OCP) dan Ops Tiris 3.0 yang dilaksanakan secara bersepadu.

 “Bertindak atas maklumat yang diterima, Maritim Malaysia telah mengatur gerak Bot KILAT 52 dan Bot ADAL 18 ke lokasi yang dikenal pasti.

“Sebaik tiba di lokasi, anggota kita mengesan empat buah bot pam yang bergerak secara mencurigakan tanpa nombor pendaftaran,” jelas beliau.

Bagaimanapun, kesemua juragan dan awak-awak bot bertindak nekad terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan cetek sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, meninggalkan bot serta muatan mereka.

Pemeriksaan lanjut menemui dan merampas empat bot pam, 26 tong berisi petrol, serta sebuah enjin sangkut jenama Yamaha 40HP. Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai lebih RM10,000.

“Rampasan ini membuktikan komitmen tegas Maritim Malaysia dalam membanteras penyeludupan bahan kawalan seperti petrol, sekali gus memastikan keselamatan perairan negara,” ujar Amir lagi.

Semua rampasan dibawa ke Jeti Kem Azumi untuk tindakan lanjut. Kes kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia menegaskan komitmen untuk terus mempertingkat rondaan dan operasi penguatkuasaan maritim khususnya di kawasan berisiko tinggi.

“Zon Maritim Semporna tidak akan berkompromi dalam hal keselamatan sempadan maritim negara. Usaha penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi mengekang sebarang bentuk jenayah rentas sempadan,” tambah beliau.

Anda Mungkin Berminat