Kronologi Zara Qairina dalam mesin basuh hanyalah spekulasi – Peguam

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Pasukan pembelaan yang mewakili ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir menegaskan bahawa dakwaan yang menyatakan pelajar sekolah itu dimasukkan ke dalam mesin basuh hanya spekulasi semata-mata.

Menerusi kenyataan media hari ini, pasukan peguam yang terdiri daripada Hamid Ismail dan Shahlan Jufri berkata, anak guamannya iaitu ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat tidak pernah memberi maklumat kepada sesiapa.

Difahamkan, mereka mengeluarkan kenyataan itu susulan tularnya beberapa video dan gambar berkaitan kes kematian Zara.

“Kami memohon wanita berkenaan menyalurkan maklumat itu kepada polis bagi tujuan siasatan.

“Penyebaran gambar kronologi yang menggambarkan Zara hanya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 ketika pukul 8.00 pagi pada 16 Julai lalu juga adalah satu spekulasi.

“Maklumat yang membentuk kronologi itu bukan datang dari anak guam kami,” katanya.

Sehubungan itu, pihak guaman berkenaan berharap agar segala penularan berkait perkara-perkara tersebut dapat dihentikan dengan serta-merta di seluruh medium media sosial.

“Spekulasi hanya menambah tekanan dan kesedihan kepada anak guam kami,” tegasnya.

Dalam pada itu, kedua-dua peguam itu turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkenaan dengan kes Zara diminta untuk menyalurkan maklumat berkenaan kepada polis untuk tujuan siasatan.

Terdahulu, tular di media sosial khususnya di laman Tiktok sebuah rakaman video oleh seorang wanita yang menceritakan kronologi Zara Qairina didakwa dimasukkan ke dalam mesin basuh dipercayai dilakukan oleh suspek bagi menghilangkan bukti.

Susulan daripada itu, hantaran berkenaan mencetuskan spekulasi yang pelbagai sehingga membuatkan warga atas talian menzahirkan rasa marah dengan keadaan yang menimpa Zara yang dikaitkan dengan dakwaan kejadian buli di sekolah.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat