KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen memulakan prosiding menyeluruh berhubung pengurusan subsidi dan kawalan harga minyak masak di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), bermula 5 hingga 6 Ogos.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, prosiding ini bertujuan meneliti sejauh mana keberkesanan pelaksanaan subsidi berkenaan, termasuk mekanisme kawalan harga dan impaknya terhadap rakyat serta perbelanjaan kerajaan.
“PAC turut akan melihat keseluruhan rantaian bekalan minyak masak dengan memanggil wakil persatuan seperti MEOMA, syarikat pembungkus dan kilang penapis.
“Lawatan kerja ke kilang juga akan diadakan bagi mendapatkan gambaran yang lebih menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Antara saksi utama yang dipanggil memberi keterangan termasuk Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar, wakil JAKIM, Muhyidin Aziz @ Saari dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) KDN, Datuk Makhzan Mahyuddin.
Pada 4 Ogos, PAC turut mendengar taklimat khusus daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican, mengenai struktur dan proses perolehan kerajaan termasuk pelaksanaan tender terbuka pra-kelayakan terpilih.
“Taklimat ini penting untuk membantu ahli PAC memahami dengan lebih jelas amalan perolehan kerajaan yang melibatkan pelbagai agensi, sejajar dengan fungsi dan tanggungjawab jawatankuasa ini,” katanya.
Mas Ermieyati turut menegaskan bahawa PAC kekal komited memastikan ketelusan, akauntabiliti dan keberkesanan perbelanjaan wang rakyat dalam setiap aspek pengurusan kerajaan.
Baca juga: