’Bring it on!’ Asyraf Wajdi sedia disaman ibu bapa pelajar kes buli MRSM

PETALING JAYA: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bersedia berdepan tindakan undang-undang daripada ibu bapa pelajar yang dibuang dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) kerana terbabit kes buli.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Asyraf mendedahkan beliau dimaklumkan mengenai hasrat segelintir ibu bapa memfailkan saman terhadap dirinya dan MARA.

“Saya dimaklumkan ada ibu bapa yang anak-anak dibuang MRSM kerana kes buli nak saman saya dan MARA. Saya katakan bring it on! Saya nak jaga keselamatan majoriti pelajar, bukan segelintir yang berlagak samseng. #YouTouchYouGo,” katanya.

Kes terbaharu membabitkan enam pelajar Tingkatan Lima di MRSM Melaka hujung bulan lalu menyaksikan mereka digantung serta dicadangkan untuk dibuang. Asyraf turut mengarahkan pihak pengurusan MARA agar tidak melayan sebarang rayuan.

Menurutnya, MARA tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk buli kerana matlamat institusi itu adalah melahirkan pelajar berakhlak dan beradab, bukan yang merosakkan nilai agama dan ketamadunan.

Pada Jun lalu, seorang pelajar Tingkatan Dua MRSM Besut mendakwa dibuli pelajar senior sehingga cedera di perut, rusuk dan belakang badan. Enam pelajar yang terbabit dalam kejadian itu dibuang serta-merta.

Sementara itu, pada April tahun lalu, polis mengesahkan rakaman video tular berdurasi satu minit 31 saat yang memaparkan seorang pelajar dibuli di asrama MRSM Seberang Perai Selatan.

Siasatan kes tersebut dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat