Dua Warga Malaysia Cedera di Bangkok Terima Bantuan Konsular

PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri mengesahkan dua warga Malaysia cedera dalam insiden di Ratchadamri, Bangkok, Thailand pada 7 Ogos lalu. Kedua-dua mangsa kini dirawat di hospital berasingan.

Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok sedang memberikan bantuan berterusan termasuk memantau keadaan mangsa dan memastikan mereka menerima rawatan sewajarnya.

Pegawai konsular turut memudah cara perjalanan ahli keluarga terdekat yang dijangka tiba di Bangkok hari ini bagi menemani mangsa.

“Kedutaan telah berhubung rapat dengan pasukan perubatan yang merawat kedua-dua mangsa dan akan terus memastikan kebajikan mereka terjaga,” kata Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan.

Pihak berkuasa Thailand sedang menjalankan siasatan penuh berhubung insiden tersebut. Malaysia menyatakan keyakinan terhadap ketelusan dan profesionalisme pihak berkuasa negara itu.

Orang awam dinasihatkan tidak membuat spekulasi bagi membolehkan proses siasatan berjalan lancar.

Kementerian Luar Negeri menegaskan komitmen untuk menjaga kebajikan rakyat Malaysia di luar negara serta menghulurkan bantuan sewajarnya pada masa sukar.

Terdahulu, dua pelancong Malaysia cedera parah selepas dibakar oleh seorang penganggur di Jalan Ratchadamri, Bangkok, pada malam Khamis lalu.

Anda Mungkin Berminat