KOTA KINABALU: Suasana pilu menyelubungi Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQEI) pagi ini apabila Noraidah Lamat, ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, hadir mengikuti proses bedah siasat jenazah anaknya.
Menurut laporan Sinar Harian, Noraidah tiba sekitar pukul 8.26 pagi menaiki van jenazah, ditemani dua peguamnya, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri.
Peguam Hamid memaklumkan bahawa anak guamnya akan mendengar penjelasan terperinci berhubung prosedur bedah siasat yang dijalankan.
“Ibu Zara Qairina akan mendengar penjelasan berhubung proses bedah siasat dan akan memaklumkan perkembangan selanjutnya kemudian,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan bahawa jenazah Allahyarhamah telah digali semula dalam satu operasi selama satu jam di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Sipitang, pada hari Sabtu, sebagai sebahagian daripada siasatan lanjut.